Wednesday 22 January 2014

Rumah dilelong



Teks : Azian Hamid

"Kak, ada orang nak jumpa. Dia nak tanya mengenai rumah lelong" Miza memaklumkan padaku.

"Siapa" Saya bertanya pada Miza. Miza hanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu. 

"Dia datang dan bising kerana kita lelong rumah dia" sambung Miza kepada saya.

Saya kemudiannya mencapai pen dan kertas dan terus ke ruang depan.

"Ya Encik? Ada apa yang boleh saya bantu? Tanya saya pada lelaki tersebut.

Tanpa mengenalkan dirinya, dengan nada suara yang lantang, dia terus menceritakan kepada saya bahawa rumahnya telah dilelong beberapa tahun yang lalu. Dia kemudiannya telah ke Bank dan pihak Bank telah meminta supaya beliau membayar sebanyak RM14,000.00 untuk menjelaskan hutang yang tertunggak. Tetapi pada ketika itu beliau tiada wang. Kemudiannya, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang Notis Tuntutan dari pihak Bank dan bagaimana pihak Bank boleh melelong rumahnya.

Haaa....walaupun telah dimaklumkan oleh pihak Bank bahawa dia mempunyai tunggakan, dia masih hendak pertikaikan bahawa tidak menerima sebarang Notis. Saya mula berasa panas. Mana tidaknya, perkenalkan diri pun tidak, memberi salam pun tidak terus hendak memarahi saya. Setelah saya bertanya nama dan alamat rumah beliau, barulah beliau menerangkan butir-butir yang diperlukan oleh saya.

“Ya, memang benar, kami telah mendapat arahan dari pihak Bank supaya mengarahkan Pelelong “XYZ” melelong hartanah Encik. Sebelum lelongan dijalankan, pihak kami telah mengeluarkan Notis Tuntutan dan kemudiannya Notis Penamatan Lesen kepada Encik ke alamat rumah yang hendak dilelong itu. Pelelong “XYZ” kemudiannya telah dilantik untuk menyiapkan kertas-kertas kerja lelongan. Setelah kertas-kertas kerja teratur, lelongan hartanah tersebut akan dijalankan pada masa dan tempat yang telah ditetapkan oleh pihak Bank. Lelongan ke atas hartanah tersebut telah dijalankan sebanyak 5 kali dan harga rizabnya pula akan menurun sebanyak 10% setiap kali lelongan. Walaubagaimanapun, hartanah tersebut masih belum berjaya dilelong kerana tiada pembida dan rumah tersebut masih lagi hakmilik Encik". Saya menerangkan satu persatu kepada beliau.

Beliau terdiam seketika. "Encik menetap di rumah tersebut?" Saya bertanya kepadanya.

"Tidak, saya menetap di Ipoh, Perak."

"Siapa yang tinggal di rumah tersebut?" saya bertanya.

"Rumah tersebut kosong," beliau memberitahu saya.

"Ada maklumkan kepada pihak Bank tentang alamat terbaru Encik?"

"Ada" katanya.

“Di cawangan mana?” Beliau seterusnya memberitahu saya cawangam Bank tersebut.

Pada fikiran saya, adalah mustahil pihak Bank tahu alamat terbaru beliau tetapi tidak memaklumkan pihak kami. Tapi saya hanya berkata-kata di dalam hati yang semakin panas ini.

Perkara-perkara sebegini memang biasa berlaku dikalangan peminjam-peminjam pinjaman perumahan. Alasan demi alasan akan diberikan, walaupun mereka tahu bahawa ansuran rumah perlu dibayar pada setiap bulan seperti yang dijelaskan di dalam dokumen Perjanjian Pinjaman.

“Encik tahu bukan bahawa Encik perlu membayar ansuran rumah tersebut setiap bulan?” Tanya saya kepada beliau. Dan, walaupun pihak bank telah memaklumkan kepada Encik bahawa tunggakan Encik adalah sebanyak RM14,000.00 tapi Encik masih enggan untuk membayarnya. Jika Encik baca dokumen-dokumen Encik, Encik akan tahu bahawa pihak Bank mempunyai hak untuk melelong rumah Encik” tegas saya pada beliau.

“Sepatutnya, Encik membuat cadangan pembayaran (proposal) kepada pihak Bank dan bukannya tidak membayar terus sehingga sekarang. Jumlah tunggakan telah bertambah sebanyak RM39xxx.00. Jika dari dulu Encik buat “proposal” perkara begini boleh dielakkan” kata saya pada beliau.

“Encik bernasib baik sebab, pihak Bank telah mengarahkan pihak kami untuk menarik-balik tindakan kebankrapan terhadap Encik dan isteri” sambung saya. 

"Jika tidak, Encik dan isteri Encik telah kami bankrapkan". Jelas saya lagi. Bukanlah niat saya hendak menakut-nakutkan beliau tetapi saya geram dengan cara beliau yang semacam sombong tidak bertempat.

Nasihat saya kepada peminjam-peminjam, berjumpalah dengan pihak bank jika ada sebarang masalah untuk membayar ansuran rumah dan selesaikan masalah tersebut dengan segera agar tindakan lelongan hartanah atau tindakan kebankrapan diambil.

Bayangkan jika anda cuma memiliki sebuah rumah sahaja dan jika Bank melelong rumah anda, dimanakah anda akan tinggal?. Anda sendiri ada jawapannya.

                                  ***********************************************************************************











No comments:

Post a Comment