Monday 13 January 2014

Tapai sebagai sumber pendapatan

Teks : Azian Hamid


Mungkin ramai yang suka makan tapai. Saya bukanlah seorang peminat makanan tapai ini, tetapi saya ingin bercerita serba sedikit mengenai tapai dan pengalaman saya menjual tapai di Pasar Malam.

Foto : Koleksi Sendiri

Di pasar malam terdapat pelbagai gerai mudah alih, yang menjual barang-barangan seperti makanan dan hasil tani seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan barangan basah yang lain. Barangan lain seperti permainan, perkakasan, buku, baju dan sebagainya juga ada dijual. Ia menarik banyak orang mengunjunginya kerana harga barangan yang berpatutan.

 Foto : Goggle

Seperti yang diketahui, peniaga-peniaga di Pasar Malam mestilah mempunyai lesen dan perlu membayar yuran tapak. Pasar Malam akan bermula pada waktu petang sehingga kepada waktu malam. Lesen peniagaan boleh didapati daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan menngikut tempat masing-masing. Ini bagi mengawal kebersihan bandar dan kesihatan. Penjual makanan perlu mendapatkan suntikan kesihatan demam kepialu/tipod - Typhim VI dan tapak Pasar Malam akan diselia oleh pihak berkuasa tempatan. Yuran tapak mestilah di bayar kepada pihak berkuasa tempatan atau penyelia yang dilantik. 

Boleh dikatakan bahawa saya dan adik-beradik dibesarkan dengan hasil jualan tapai. Pada mulanya, bapa saya yang berniaga di Pasar Malam, oleh kerana kesihatannya tidak mengizinkan, tugas tersebut diambil alih oleh Ibu saya dengan dibantu oleh saya sendiri dan adik. Pada mulanya, saya dan adik beradik di"paksa" berniaga di Pasar Malam. Perasaan malu memang ada, tetapi kami terpaksa juga menjual tapai di Pasar Malam. Lama kelamaan, perasaan malu bertukar menjadi seronok apabila tapai yang dibuat oleh Mak habis di beli oleh orang ramai. Ada yang beli 2 bungkus, 5 bungkus dan ada juga yang membeli sebanyak 20 bungkus. Semakin banyak orang membeli, semakin seronok perasaannya.

Kadang kala keadaan cuaca memainkan peranannya. Tapai yang dibuat tidak habis di jual. Malah, ramai peniaga-peniaga lain terpaksa menutup dan menyimpan barang-barang mereka ditakuti akan dimasuki air dan basah. Ada juga peniaga lain yang sudah tiba di tapak Pasar Malam, tetapi tidak membuka barangan jualan mereka, kerana cuaca gelap dan berkemungkinan hujan akan turun.  

Orang tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak membuat tapai. Apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam. Bagi wanita yang 'datang bulan' juga tidak boleh membuat tapai ini kerana rasa yang akan terhasil daripada pembuat tadi tidak 'jadi' atau masam dan sebagainya. 

Jika dulu, tapai hanya di jual di Pasar Malam, tetapi sekarang Ibu saya mengambil tempahan untuk kenduri kendara.

Bagi sesiapa yang berminat dengan tapai ini, bolehlah menghubungi saya. Untuk kenduri-kendara atau apa-apa majlis, sila maklumkan dua atau tiga minggu awal.

Saya akan menceritakan pengalaman saya yang lain di entri yang akan datang.

Sekian, wassalam.  



No comments:

Post a Comment