Friday 31 January 2014

“Tolong jangan bankrapkan saya.”



Teks : Azian Hamid

Sudah hampir 45 minit saya dan En. Suami berlegar-legar di kawasan taman perumahan itu, tapi tidak bertemu dengan alamat yang dicari. Dari jam 11.00 tadi hinggalah ke jam 11.45 pagi. Rasa seperti hendak berhenti saja dari meneruskan pencarian alamat tersebut.

"Eeee geram betullah!” Saya meluahkan perasaan geram saya pada Si Suami.

“Sabarlah, jom kita ke depan sikit, mungkin boleh jumpa alamat tu.” En. Suami memujuk. Saya hanya mengangguk tanda setuju.

Kami kemudiannya meneruskan pencarian. Berlegar-legar di kawasan perumahan tersebut mencari alamat No. 45, Lorong Kasuari 8/8, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Jam di tangan di belek. Dah nak masuk jam 12.00 tengahari.

“Kita ke depan tu, kalau tak jumpa juga alamat tu kita baliklah. Lorong Kasuari 8/8 dah jumpa, mana pulak rumah No. 45 tu?” Saya bertanya kepada En Suami.

“Rumah tu rumah Melayu atau rumah Cina?” En Suami bertanya pada saya.

“Rumah Melayu” Jawabku ringkas.

Kami dah berhenti dan bertanya pada tuan rumah di No. 43, seorang perempuan Melayu dan jawapan yang diterima agak mengecewakan saya.

“Akak minta maaflah, Akak tak tahu, lagipun Akak baru saja berpindah dekat kawasan ni.”

Akhirnya, saya dan En. Suami mengambil keputusan untuk pulang. Perut sudah berbunyi meminta untuk diisi. Botol air sudah kosong. Tiba-tiba….

“Berhenti dekat Lorong 8/3 tu.” Arah saya pada En. Suami. Saya hanya tersenyum. Dalam fikiran saya, tidak salah kalau saya terjah saja rumah yang bernombor 45 tu. Tak berdosa pun.

Saya kemudiannya memberi salam. Kelihatan seorang perempuan tua keluar. Saya kemudiannya bertanya kepada makcik tersebut samada beliau kenal seorang lelaki bernama Rahim Bin Mansor (bukan nama sebenar). Beliau tinggal di alamat No. 45, Lorong Kasuari 8/3, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Makcik tersebut memaklumkan kepada saya bahawa Rahim Bin Mansor adalah anak saudaranya.

Saya tersenyum pada En. Suami. Tidak sia-sia terjahan saya kali ini. Sementara itu, makcik tadi masuk ke dalam memanggil anak saudaranya. Kelihatan seorang lelaki kemudiannya memanggil saya dan En. Suami masuk ke dalam rumah. Saya kemudiannya memperkenalkan diri saya dan tujuan kedatangan saya di rumah tersebut.

“En Rahim, saya dari firma guaman RAJT, hendak menyerahkan sesalinan Notis Kebankrapan pada Encik.” 

                                                         Foto : Azian Hamid
 
Saya kemudiannya mengesahkan nama beliau serta nombor kad pengenalan seperti yang tertera di Notis Kebankrapan tersebut. Saya juga menerangkan butir-butir Notis Kebankrapan tersebut dan meminta beliau hadir di Bank untuk membincangkan mengenai baki tunggakan pinjaman perumahan (shortfall) yang masih ada.

Bagaimana proses-proses membankrapkan peminjam (Penghutang Penghakiman) dijalankan?
 
1. Permintaan Untuk Mengeluarkan Notis Kebankrapan dan Notis Kebankrapan akan difailkan di Mahkamah Tinggi;

2. Suatu tarikh Pengurusan Kes (Case Management) akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi;

3. Notis Kebankrapan tersebut hanya sah dalam tempoh 3 bulan dari tarikh pemfailan;

4. Serahan secara serahan kediri (personal service) perlu dilakukan hanya kepada Peminjam (Penghutang Penghakiman) tersebut sendiri - tidak boleh diserahkan kepada orang lain;

5. Afidavit Penyampaian perlu difailkan di Mahkamah Tinggi – (setelah Notis Kebankrapan tersebut berjaya diserahkan kepada Penghutang Penghakiman tersebut)

6. Sesalinan dokumen-dokumen (no. 1 dan 5 berserta sesalinan Penghakiman) perlu diserahkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi. 

7. Petisyen Pemiutang dan Afidavit kebenaran Dalam Petisyen akan difailkan di Mahkamah Tinggi;

8. Suatu tarikh Pengurusan Kes (Case Management) akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi;

9. Petisyen Pemiutang dan Afidavit kebenaran Dalam Petisyen perlu diserahkan secara serahan kediri hanya kepada Peminjam (Penghutang Penghakiman) tersebut sendiri - tidak boleh diserahkan kepada orang lain;

10.  Serahan harus dibuat sebelum tarikh Pengurusan Kes (Case Management);

11.  Setelah penyerahan Petisyen Pemiutang tersebut berjaya dilakukan, Afidavit Penyampaian akan difailkan di Mahkamah DAN akhir sekali perlu memastikan dokumen-dokumen tersebut teratur; dan

12.  Kesemua dokumen-dokumen perlu diserahkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi

13.  Pada tarikh Pengurusan Kes tersebut dan Penghutang Penghakiman tidak hadir, maka Mahkamah Tinggi akan menjatuhkan hukum ke atas Penghutang Penghakiman tersebut iaitu Perintah Penghukuman dan Perintah Penerimaan (AORO – Adjudication Order and Receiving Order). 

En Rahim dahulunya mempunyai sebuah rumah tetapi oleh kerana beliau gagal menyelesaikan tunggakan pinjaman perumahan beliau, rumah beliau telah dilelong. Setelah pihak Bank mendapat hasil lelongan tersebut, tunggakan pinjaman tersebut telah dikira dan di tolak dengan hasil lelongan tadi. Namun masih terdapat baki tunggakan selepas rumah beliau dilelong dan ianya di panggil “shortfall”. Untuk makluman anda, Notis kebankrapan hanya boleh difailkan sekiranya jumlahnya melebihi RM30 ribu.

“Tolong jangan bankrapkan saya.” Rayu En Rahim kepada saya.

Untuk mengelakkan beliau dari menjadi bankrap, saya menasihatkan En Rahim agar berjumpa dengan pihak Bank untuk sebarang penyelesaian dengan kadar segera. Setelah menyerahkan sesalinan termeterai Notis Kebankrapan tadi, saya kemudiannya meminta beliau menurunkan tandatangan di pendua Notis Kebankrapan tersebut sebagai bukti penyerahan. Saya tidak mempunyai kuasa untuk membankrapkan En Rahim kerana status jatuh bankrap hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah sahaja.

Saya ingin menegaskan bahawa alamat terkini dan betul perlu dimaklumkan kepada pihak bank agar pihak bank dapat mengemaskinikan di dalam sistem mereka. Jika tidak, inilah akibatnya.

Jam di tangan di belek lagi, sudah jam 12.45 tengahari. Berbaloi…terjahan yang amat bermakna bagi saya. Menyelamatkan seseorang dari menjadi bankrap. Menjadi Si bankrap atau tidak terpulang kepada En Rahim sendiri, itupun jika En. Rahim mengambil berat apa yang saya terangkan tadi.

Wassalam.

Thursday 30 January 2014

Ulasan Kelas Online - Suharni Dawing



Guru Online : Normi Mat Yusof (http://normiyusof.blogspot.com/)
Teks: Suharni Dawing
Sumber: http://suharnidawing.blogspot.com/

Alhamdulillah akhirnya berjaya juga melengkapkan tugasan 44 enteri yang diberikan oleh mentor saya walaupun memakan masa yang agak lama untuk menyiapkannya. Sebenarnya untuk menyiapkan tugasan ini bergantung kepada individu itu sendiri kerana ianya memerlukan momentum dan komitmen yang tinggi dan ada protege yang hanya memerlukan masa hanya seminggu sahaja, tidak mustahil kan jika kita bersungguh-sungguh. Terima kasih kepada mentor saya Puan Normi Hj Mat Yusof kerana banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar, beliau begitu sabar melayan dan menjawab setiap soalan yang diutarakan oleh protege-protege beliau. Sejujurnya saya memang tidak tahu menahu selok-belok dunia "berblogging" ini, hanya tahu "search" maklumat dan baca blog-blog orang lain sahaja dan kini saya mampu memiliki blog dan fanpage sendiri. Beliau sentiasa ada untuk membantu dan menunjukkan langkah demi langkah serta tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

Setelah memiliki blog dan fanpage sendiri, alhamdulillah saya mampu menjana sedikit pendapatan walaupun tidak lah sebanyak mana, namun saya tetap bersyukur. Menjadi agen dropship adalah salah satu permulaan perniagaan bagi mereka yang tidak mempunyai modal kerana hanya perlu mempromosikan produk dan dapat untung melalui komisyen. Segala urusan penghantaran, penyimpanan stok, dan bekalan produk dilakukan oleh pembekal, namun ejen dropship haruslah mencari pembekal yang tepat dan mudah untuk dihubungi bagi memudahkan urusan diantara ejen dan pembekal. Dengan menyertai kelas online asas blog dan fanpage ini mereka juga ada menawarkan produk kepada protege yang ingin memulakan perniagaan, Terima kasih kepada mentor saya kerana memperkenalkan saya kepada pembekal pakaian muslimah yang mudah untuk dihubungi dan berurusan dengan beliau.

Tanpa mentor yang betul ibarat melalui sebuah lorong yang gelap, tanpa diberitahu apa-apa tentang lorong itu dan tidak ada lampu suluh, tidak ada lilin serta peralatan untuk mempertahankan diri. Jika kita dibimbing oleh seorang mentor, dia ibarat penunjuk jalan kerana mereka sudah mengharungi lorong yang gelap itu dan tahu akan selok-belok lorong tersebut. Sudah tentu kita akan rasa lebih selamat dan yakin jika mentor ada untuk menemani kita melalui lorong yang gelap itu. Dengan adanya mentor, InsyaAllah perjalanan dalam dunia perniagaan akan menjadi mudah dan lebih lancar,mereka juga sering kali berkongsi network dan sentiasa membantu antara satu sama lain.

Saya berasa sangat bertuah kerana terpilih dan terpanggil untuk menyertai kelas asas blog dan fanpage ini kerana bukan sahaja saya dapat mengutip ilmu tetapi dapat menikmati kelebihan-kelebihan dalam kelas ini serta dapat menjalinkan ukuwah bersama ahli-ahli dalam akademi berkerja dari rumah ini. Jika anda ingin merasai kelebihan-kelebihan dalam akademi ini apa tunggu lagi jom daftar sekarang pasti anda berpuas hati kerana banyak pakej-pakej yang ditawarkan dalam akademi ini.

Wednesday 29 January 2014

Berita Oh Berita

Teks : Azian Hamid

Foto : Carian Goggle
Buka saja Yahoo, dah ternampak muka Dato Shah Rukh Khan. Alahai Dato, kenapalah pulak. Bukan nak cerita mengenai Dato, malam sikitlah baru Goggle mengenai Dato.

Sekarang ni tengah panas mengenai berita tentang guru dera pelajar. Beberapa hari yang lepas, seorang guru membuli pelajar dengan menggantung loceng dileher dan diberikan rumput pada waktu rehat. Atas alasan apa guru tersebut berbuat demikian? Pelajar-pelajar tersebut tidak menyiapkan kerja rumah seperti yang disuruh. Guru ini terlampau mengikut perasaan. Teringat pula anak-anak saya disekolah. Jika perkara yang sedemikian berlaku, apa tindakan saya nanti. Hishhh, saya mesti berfikiran positif.
Foto : Carian Goggle


Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun didakwa dipukul guru tuisyen sehingga luka dan lebam di beberapa anggota badan kerana gagal menghafal A, B, C hingga Z dengan lancar apabila bacaan terhenti sekadar pada huruf D. Sebagai seorang guru, emosinya biarlah bertempat.

Guru...Guru dikatakan antara orang yang paling sesuai dalam memikul peranan ini. Hal ini kerana tugas mereka pada zaman sekarang bukan sahaja untuk mengajar, malah untuk mendidik. Perkara ini menyebabkan terjalinnya satu ikatan yang kuat antara guru dan pelajar sehinggakan ada guru yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi kecemerlangan pelajar.

Tetapi, jangan lupa bahawa ibubapa juga memainkan peranan yang penting.

Hurmm apa cerita Dato Shah Rukh tadi? 

                                 ****************************************