Saturday 18 January 2014

Cross Stitch Anggur

Teks : Azian Hamid

Assalamualaikum...

CROSS-stitch ataupun dikenali juga sebagai jahitan silang pangkah merupakan salah satu jahitan sulaman yang paling ringkas dan mudah untuk dipelajari.  Kita boleh buat kad ucapan, kad hadiah, gambar pemandangan, gambar buah-buahan, gambar bunga dan macam-macam corak dengan menggunakan jahitan silang pangkah. Yang pasti anda dapat menghasilkan sendiri jahitan silang pangkah yang cantik dan menarik.

Ianya juga boleh dihadiahkan kepada yang tersayang, sahabat ataupun sebagai hiasan di rumah anda. Saya lebih suka buat hiasan di rumah sahaja. Antara corak yang saya suka ialah buah-buahan, bunga dan juga pemandangan.

Saya ingin berkongsi gambar Cross Stitch yang saya buat kira-kira 12 tahun lalu. Corak Cross Stitch ini diambil dari seorang kawan.

Foto : Koleksi Sendiri
Masih elok lagi kan? Dulu saya adalah seorang surirumah. Saya akan berkumpul dengan beberapa orang lagi surirumah pada waktu petang dan kami akan berkongsi corak Cross Stitch ini. Contohnya saya ada corak bunga yang telah siap dan kawan saya ada corak buah anggur, jadi kami akan menukar corak tersebut. Begitu juga dengan benang. Saya tiada benang warna ungu, jadi saya akan meminjam benang kawan saya itu dan begitulah sebaliknya.

Dari berbual-bual kosong, lebih baik kita belajar buat membuat kerja-kerja yang berfaedah. Pernah suatu ketika, saya ada membuat Cross Stitch corak bunga ros, makcik saya telah meminta saya untuk menjual kepadanya. Pada mulanya saya menolak, tetapi oleh kerana makcik saya mendesak, saya pun menjual kepada makcik saya dengan harga RM80.00. Alhamdulillah, rezeki saya dari hasil kerja tangan saya. 

Jadi, kepada sesiapa yang berminat dengan seni Cross Stitch, buatlah dengan sabar dan tekun. Ajak juga kawan-kawan yang lain. Buatlah kerja-kerja yang berfaedah.

Sekian.

Wassalam.    







No comments:

Post a Comment